SEJARAH SPM

Saturday, 19 January 2019

DISIPLIN BELAJAR SEJARAH DI DALAM KELAS

Salehuddin M.R, [17.01.19 21:54]
Salam semua murid yang cikgu kasihi. Berikut cikgu kongsikan disiplin/strategi pembelajaran Sejarah semasa PdPc dalam kelas:

1. Preview/baca subtopik dalam buku Sejarah sebelum kelas berikutnya.

Buku teks Sejarah merupakan sumber dan rujukan utama kepada semua murid. Cikgu syorkan anda untuk membaca subtopik dan kandungan pembelajaran Sejarah sebelum masuk ke kelas. Hal ini demikian kerana murid akan dapat pengetahuan asas  (entry knowledge) tentang satu-satu topik tersebut dan seterusnya menjadi pengetahuan sedia ada (existing knowledge) pada hari kelas tersebut. Anda juga boleh membaca buku rujukan sebagai rujukan yang kedua.

2. Tandakan isi/point utama dengan pen warna.

Semasa pembelajaran, tandakan (higlight) isi-isi utama bagi setiap fakta, huraian dan contoh Sejarah dengan pen warna dalam buku teks atau buku rujukan anda. Warna yang terang lagi menonjol akan memandu kita kepada isi-isi penting pembelajaran. Cikgu berpendapat tindakan ini bukannya satu tindakan vandalisme atau salah laku kerana ianya bertujuan pembelajaran.

3. Gunakan sticky notes.
Sticky notes memang sangat berguna untuk kita menulis catatan/maklumat tambahan, nota kaki, nota ringkas, lakaran dan rumusan pelajaran.  Lekatkan sticky note anda pada mana-mana sudut halaman buku teks Sejarah.

4. Penglibatan murid dalam aktiviti kelas.

Libatkan diri anda secara aktif dan progresif dalam kerjasama kumpulan. Hasilkan buah fikiran yang bernas, cerna dan cakna minda, berfikir secara kreatif dan kritis (KBAT),  fikirkan Apa? Bila? Siapa?  Dimana? Mengapa?, Bagaimana?, boleh menyelesaikan masalah, berani memberikan pendapat, berhujah secara berhikmah, memainkan peranan, memimpin dan membimbing serta berlapang dada terhadap perbezaan pendapat rakan lain. Hasil idea anda boleh diterjemahkan dalam peta pemikiran dan dibentangkan.  Sekiranya tiada jalan penyelesaian, rujuklah guru anda.

5. Merubah sebarang kemusykilan menjadi kefahaman.

Setiap persoalan /isu yang terbuku dalam hati perlu diluahkan kepada guru. Mungkin juga persoalan kita boleh dijawab oleh rakan kita yang lain.  Persoalan itu juga  boleh dikaji dengan merujuk sumber di perpustaaan atau internet. Setiap persoalan yang berjaya dijawab bukan sahaja bermanfaat untuk diri kita malah memberikan kebaikan kepada semua rakan kita kerana rakan kita mungkin tidak terfikir soalan yang demikian! Catatkan isu dan persoalan tersebut bersama cadangan jawapannnya pada sticky note anda.

6. Review subtopik yang sudah dipelajari dan jumpalah guru sejarah anda.

Strategi ini penting untuk mengukuhkan pengetahuan Sejarah (strengthen the knowledge) dengan mengulangkaji dan membaca semula sub topik pelajaran yang telah dipelajari dalam kelas. Pengukuhan ini dipacu pula dengan kekerapan bertemu dengan guru Sejarah anda (driven the knowledge to the next level) untuk sesi perbincangan dan soal jawab serta bimbingan secara peribadi atau kumpulan kecil. Kesannya kita lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk penilaian, ujian mahu pun peperiksaan.

Semoga berjaya dalam SPM 2019.

Catatan berguna oleh,
Che'gu Salehuddin Bin Mohd Rokani,
Guru Sejarah,
SMK Jengka Pusat 2, 
Bandar Jengka.

By Telegram.

Tuesday, 23 October 2018

TEKNIK MENJAWAB SOALAN KBAT SEJARAH SPM KHAS KERTAS 2

MENGENAL PASTI SOALAN KBAT
Bagaimana kita menentukan soalan itu adalah soalan KBAT? Selain daripada stimulus (bahan rangsangan) dan kata tugas, melalui peruntukan markah dalam soalan juga kita boleh mengagak soalan itu KBAT atau KBAR. Sebagai contoh, Kertas 2, Bahagian A, sekiranya soalan itu 3-4 markah, kemungkinan soalan itu KBAT. Untuk Bahagian B pula, sekiranya soalan itu 6-8 markah, kemungkinan soalan itu KBAT. Trend terkini soalan memerlukan calon mengupas/menghurai isi. Hal ini dapat dibuktikan dalam Bahagian A, soalannya memperuntukkan markah 2-4-4 dan Bahagian B pula 4-8-8 (bergantung kepada perubahan).

MENGENAL PASTI KEHENDAK TUGASAN DALAM SOALAN KBAT
            Respon atau jawapan murid mestilah bertepatan dengan kehendak tugasan. Ini bermakna murid perlu tahu tingkatan atau aras KBAT. Apabila kehendak tugasan difahami, maka murid dapat memberikan respon/jawapan yang betul. Lihat penerangan di bawah:

KBAT: Menganalisis
·         Antara soalan yang terbanyak dalam kertas peperiksaan.
·         Murid perlu mencerakinkan maklumat/pengetahuan Sejarah kepada komponen yang lebih kecil iaitu kepada FHC, atau FH atau F atau H, bergantung kepada sub topik.
·         Kemahiran ini sangat penting dalam aktiviti pembelajaran sebelum menguasai kemahiran KBAT yang lain.
·         Cerakinan tersebut membolehkan murid mengenal pasti isi utama seperti kronologi peristiwa, ciri-ciri, kesan, kepentingan, sebab-sebab, cara-cara atau proses.
·         Jawapan bersifat tertutup kerana dari buku teks.
·         Contoh soalan:
o   Jelaskan ciri-ciri utama tamadun manusia.
o   Jelaskan corak kehidupan masyarakat Arab Jahiliah.
o   Huraikan sebab-sebab berlakunya peristiwa Hijrah.

KBAT: Mengaplikasi

·         Murid perlu menggunakan maklumat/pengetahuan Sejarah kepada satu situasi baharu.
·         Jawapan bersifat terbuka, iaitu mengaitkan dengan masa kini/sekarang.
·         Tidak boleh salin bulat-bulat pengetahuan Sejarah sebagai jawapan.
·         Boleh design/reka jawapan FHCI selagi mana munasabah.
·         Contoh soalan:
o   Bagaimanakah sifat kerterbukaan Tamadun Indus dapat dicontohi oleh pemerintah masa kini?
o   Bagaimanakah anda mempraktikkan konsep Hijrah dalam kehidupan seharian?

KBAT: Menilai

·         Murid berupaya membuat pertimbangan terhadap maklumat/pengetahuan Sejarah.
·         Berupaya memberikan bukti, berhujah, berbahas dan membuat ulasan.
·         Jawapan bersifat terbuka.
·         Boleh design/reka jawapan FHCI selagi mana munasabah.
·         Contoh soalan:
o   Sejauh manakah kejayaan gerakan penentangan pemimpin tempatan  menentang British di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
o   Setujukah anda bahawa Zaman Renainssance adalah permulaan bagi kemajuan orang Barat?

KBAT:Mencipta

·         Murid berupaya menggunakan maklumat/pengetahuan Sejarah kepada struktur baharu.
·         Berupaya berfikir secara kreatif, menjana idea dan memberi cadangan yang bernas.
·         Jawapan bersifat terbuka.
·         Boleh design/reka jawapan FHCI selagi mana munasabah.
·         Contoh soalan:
o   Cadangkan usaha-usaha berkesan untuk memelihara monumen negara.
o   Ramalkan masa depan dunia sekiranya kuasa-kuasa besar dunia terlibat dalam sebarang konflik.
o   Bagaimanakah anda sebagai generasi muda, menghadapi cabaran globalisasi?


 Perhatian!            

·         Teknik FHCI sangat sesuai untuk menjawab soalan KBAT Respon Terbuka (Bahagian B) kerana jawapan boleh dikupas dengan mendalam.
·         Jawapan dalam Bahagian A (Respon Terhad) pula memerlukan calon memberikan jawapan secara jitu dengan  huraian. Hal ini demikian kerana ruangan jawapannya terhad. Ini bermaksud calon juga boleh menggunakan teknik FHC.
·         Rumusannya, soalan bahagian A dan B memerlukan calon memberikan respon jawapan dengan tepat bersama huraiannya.
·         Sebagai asas, calon perlu mempunyai dan menguasai kemahiran menganalisis fakta sejarah terlebih dahulu sebelum boleh menjawab soalan KBAT menilai, mengaplikasi dan mencipta.

CIRI-CIRI SOALAN KBAT: LAZIM/RUTIN DAN BUKAN LAZIM/NON RUTIN

            Situasi inilah yang memerangkap calon untuk memberikan respon jawapan sedangkan ianya telah dipelajari dalam kelas dan sewaktu ulangkaji. Mengapa hal ini boleh terjadi? Ini kerana calon tidak memahami kehendak tugasan/soalan. Inilah soalan KBAT Non Rutin. Soalan “twist” pengetahuan sejarah calon tanpa disedari ianya telah dipelajari oleh calon sendiri. Lihat contoh pertama dibawah:

TAJUK/SUB TAJUK: PERSEKUTAN TANAH MELAYU 1948.
KONSTRUK/ARAS PEMIKIRAN: MENGANALISIS
ARAS KESUKARAN: RENDAH KEPADA SEDERHANA
SOALAN: Jelaskan faktor-faktor Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948?

            Baik, mudah bukan! Soalan adalah direct dan calon sememangnya faham kehendak tugasan iaitu perlu menghuraikan/mencerakinkan sebab-sebab. Lihat contoh kedua pula di bawah; kali ini aras kesukarannya lebih tinggi.

TAJUK/SUB TAJUK: PERSEKUTAN TANAH MELAYU 1948.
KONSTRUK/ARAS PEMIKIRAN: MENGANALISIS
ARAS KESUKARAN: TINGGI
SOALAN: Mengapakah Malayan Union dibubarkan? Atau Jelaskan faktor-faktor pembubaran Malayan Union.
           
            Bagaimana? Agak keliru bukan? Seperti tidak pernah dipelajari. Sebenarnya kehendak tugasannya sama. Jadi calon perlu faham bahawa dalam sukatan pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1948,  Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu dibubarkan dan digantikan dengan konsep persekutuan seperti NNMB, iaitu Persekutuan Tanah Melayu dengan mengiktiraf kembali kuasa Raja Melayu dan perlindungan terhadap kedudukan orang Melayu. Maka jawapannya sama! Lihat buku teks Sejarah tingkatan 5 halaman 103-104. Inilah KBAT Non Rutin. Ianya diuji secara indirect. Bersedialah dengan situasi soalan seperti ini. Good luck and Allah speed you in SPM.





Artikel ini ditulis/dikemaskini oleh:
                                                  0934hrs/14 Oct.
Cikgu Salehuddin bin Mohd Rokani,
Bandar Tun Abdul Razak Jengka,
“Rock With History”
“Learn History For Love, For Honour, For Valour”
https://t.me/gempur1249

TIPS SEJARAH KERTAS 3 SPM

Tips Sejarah SPM Kertas 3:
Salam Negaraku kepada semua calon SPM. Diharap semua calon telah bersedia dengan bahan-bahan yang berkaitan dengan Sejarah Kertas 3. Di sini cikgu akan kongsikan beberapa tips Sejarah SPM Kertas 3.

1. Bahan rujukan.
Pastikan anda telah bersedia dengan bahan rujukan seperti buku teks dan bahan-bahan yang lain seperti modul, artikel, jurnal, majalah dan sebagainya. Jabatan Pelajaran Negeri Pahang telah pun mengeluarkan Modul Sejarah SPM Kertas 3 yang telah pun disebarkan ke seluruh sekolah menengah negeri Pahang. Sekiranya anda belum menerima modul ini, sila hubungi guru sejarah anda.

2. Studi/belajar kandungan bahan rujukan.
Ya. Anda memang perlu belajar segala yang berkaitan dengan bahan rujukan yang relevan dengan tema Sejarah Kertas 3. Anda akan gagal atau tidak dapat menjawab dengan baik sekiranya anda tidak studi kandungan bahan rujukan. Sekurang-kurangnya anda telah bersedia dengan buku teks Sejarah Tingkatan 5 dan Modul JPN atau lebih baik sekiranya ada bahan sokongan yang relevan. Jangan terlalu banyak bahan, ia akan menyesakkan meja kita semasa peperiksaan dan mungkin akan menyebabkan stress. Jadi pilihlah bahan yang relevan setelah berbincang dengan guru sejarah anda.

3. Buat Simulasi/Bengkel Menjawab Sejarah Kertas 3.
Setkan hari dan masa yang sesuai bersama guru sejarah anda untuk berbengkel. Mulakan dengan prosedur/manual menggunakan Modul JPN/bahan sokongan yang lain. Dalam hal ini, guru sejarah anda telah ditatarkan bagaimana menggunakan Modul JPN dan buku teks. Jadi dengar dengan baik dan highlightkan isi-isi yang penting serta nota-nota tambahan. Sekiranya ada kemusykilan , tanyalah guru sejarah anda.
Seterusnya, simulasi. Setelah anda memahami tata cara menggunakan Modul JPN dan buku teks, tiba masanya untuk menjawab soalan Sejarah Kertas 3 dengan menggunakan soalan klon/mirip/ramalan yang berkaitan dengan tema dan mengikut masa yang sebenar iaitu 3 jam dan dijalankan seperti peperiksaan sebenar. Sekiranya anda dapat menjawab kesemua soalan dalam masa 3 jam, bermakna anda boleh menjawab soalan yang sebenarnya nanti. Sekiranya tidak, beritahulah guru anda, bahagian manakah yang bermasalah sama ada soalan atau tugasan atau pun modul. Insya Allah guru anda ada penyelesaiannya. Untuk lebih berkesan, jawab beberapa set lagi soalan dirumah dengan mengikut tempoh menjawab yang sama.

4. Kes tidak ada rujukan yang relevan dan sesuai dengan soalan.
Terdapat juga kes soalan yang diuji kita tidak dapat mencari bahan yang sesuai dan relevan. Bagaimanakah kita menghadapi situasi seperti ini?
Pertama, fahami kehendak soalan. Kadang-kadang soalan sebenar 'twist' kefahaman calon dengan menggunakan ayat yang berbeza tetapi maksud soalannya sama dan ada dalam dapatan calon iaitu bahan rujukan. Hati-hati dan peka.
Kedua, memang tiada dalam dapatan calon dan untuk kes ini calon perlu menggunakan kemahiran berfikir dan mungkin KBAT, untuk menjawab soalan tersebut. Jangan khuatir, berfikirlah di luar kotak. Tiada salahnya. Anda rasa relevan jawapannya, ya tulis..itulah jawapannya.

Selamat berbengkel semua!

Ditulis oleh Che'gu Arikata Teri di https://t.me/gempur1249

Wednesday, 11 May 2016

KBAT SEJARAH: TANGGAPAN YANG PERLU DIPERBETULKAN

Salam chegu sejarah buat semua pembaca yang budiman.

Penulisan chegu kali ini berkenaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Mata Pelajaran Sejarah Menengah Atas yang bertujuan membetulkan tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah di kalangan guru sejarah dan calon SPM. Artikel ini dikupas dengan sedemikian rupa supaya guru dan calon dapat memahami dengan mudah tentang KBAT dan disyorkan artikel ini dibaca bersama dengan buku Pentaksiran KBAT yang dikeluarkan oleh LPM, KPM. Sebelum kita bincangkan tajuk ini dengan panjang lebar, eloklah kita menghayati takrifan KBAT terlebih dahulu.

Takrifan KBAT
Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, KBAT ditakrifkan sebagai keupayaan untuk mengapliksikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.

Maka KBAT berfokus kepada empat konstruk pemikiran dan kemahiran yang utama iaitu:

Menganalisis
Berupaya mencerakinkan atau menstruktur maklumat kepada bahagian yang lebih kecil, menentukan bagaimana bahagian struktur keseluruhan atau matlamat berkaitan antara satu sama lain.

Menilai
Membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui pemeriksaan dan kritikan.

Mengaplikasi
Kebolehan kognitif yang menggunakan prinsip dan generalisasi tentang sesuatu terhadap suatu masalah atau situasi baharu.

Mencipta/Menjana Idea
Menyatukan elemen untuk membentuk sesuatu, menyusun, menjana, merancang atau menghasilkan semula elemen kepada corak atau struktur yang baharu.

Justeru, Kemahiran Berfikir Aras Rendah  (KBAR) adalah perlu dalam menyediakan murid pengetahuan dan kemahiran asas sebelum menguasai KBAT.

Isu KBAT dalam SPM 2015, Subjek Sejarah
Rata-rata murid (respon kebanyakan murid sekolah harian biasa) menyatakan soalan yang diuji tiada KBAT, sukar dan berbeza dari SPM sebelumnya. Reaksi guru pula berbeza-beza iaitu soalan KBAT terlalu banyak dan tidak kurang juga yang menyatakan tiada soalan KBAT yang boleh membantu calon dapat markah. Terdapat juga guru yang menyatakan soalan tersebut mudah dan tiada bezanya dengan tahun-tahun lepas.

Selepas Sejarah K2 berakhir, isu ini hangat disensasikan dalam media sosial dan menerima pelbagai kritikan dan sendaan dan seterusnya menjadi bahan jenaka. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan mungkin tindakan mereka itu disebabkan mereka  tidak didedahkan dengan item KBAT secara menyeluruh di sekolah.

Tanggapan Salah Terhadap KBAT Sejarah
Sebenarnya item KBAT Sejarah dalam SPM 2015 tiada masalah dari sudut keakuran, ketekalan, kesahan dan kebolehpercayaan. Masalah utama datang dari pemahaman guru dan murid tentang KBAT itu sendiri. Selepas peperiksaan berakhir, penulis meneliti sendiri skrip Sejarah K2 yang didakwa sukar dan tiada soalan KBAT yang boleh membantu calon dapat markah. Hasil penelitian penulis mendapati murid dan guru mempunyai tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah iaitu:

KBAT ialah nilai-nilai murni dan unsur patriotisme
Nilai-nilai murni dan unsur patriotisme termasuk dalam konstruk nilai dan sikap manakala KBAT termasuk dalam konstruk kemahiran. KBAR pula termasuk dalam konstruk pengetahuan. KBAT mesti merangkumi 4 kaedah pemikiran yang utama  iaitu menganalisis, menilai, mengaplikasi dan menjana idea serta bukannya semata-mata nilai murni/unsur patriotik.

KBAT mestilah bermula dengan kata tugas pada pandangan anda...pendapat anda..berdasarkan pengetahuan sejarah anda...dan lain-lain
SPM 2015 menyaksikan tiada item yang menggunakan kata tugas ini yang menyebabkan calon beranggapan soalan tiada KBAT. Sebenarnya majoriti soalan yang diuji ialah KBAT.

KBAT ialah apa yang dipelajari dalam bilik darjah.
SPM 2015 menyaksikan soalan didahului dengan stimulus (gambar, teks, peta dsb) dan stimulus itu tiada dalam buku teks (tidak pernah dipelajari/dilihat) menyebabkan calon tidak berupaya menulis idea jawapan. Antara ciri item KBAT ialah konteks bukan lazim iaitu menggunakan situasi baharu di luar bilik darjah serta menggalakkan murid berfikir dengan lebih mendalam dan bukan sekadar mengingat semula apa yang dipelajari dalam bilik darjah. Item KBAT juga merupakan situasi sebenar dalam kehidupan seharian murid.

Strategi Guru dan Murid Tidak Menjadi
Ramai guru sejarah yang kreatif dan inovatif telah mencipta satu kaedah baru dalam usaha memastikan murid dapat menjawab soalan SPM dengan baik dan cemerlang. Inovasi tersebut juga pernah memenangi beberapa pertandingan utama peringkat daerah, negeri dan mungkin kebangsaan. Kaedah baru tersebut dilihat satu cara pintas dan pantas untuk menjawab soalan KBAT. Apabila KPM menguji KBAT dalam SPM 2015, kaedah tersebut akhirnya memerangkap calon SPM.

Kita tidak boleh persalahkan mana-mana pihak dalam hal ini kerana kaedah tersebut terbukti berjaya dan menunjukkan keberhasilan dalam SPM tahun- tahun lepas. Mungkin inovasi tersebut perlu diinovasikan semula supaya seiring dan memenuhi KBAT.

Punca
Tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah mungkin berpunca daripada kecairan maklumat semasa penataraan KBAT di peringkat daerah yang mana wakil guru yang telah menghadiri kursus tidak menatarkan pula maklumat KBAT tersebut di kalangan warga pendidik di sekolah. Buku Pentaksiran KBAT yang dibekalkan di sekolah pula sekadar menjadi hiasan di rak buku.

Punca kedua pula ialah murid tidak didedahkan dengan item KBAT secara menyeluruh. Walaupun murid telah didedahkan dengan alat pemikiran KBAT seperti i-THINK, ianya belum mencukupi bagi murid mengasah KBAT. Maka latihan/tugasan yang mengandungi item KBAT perlu didedahkan kepada murid sejak dari awal lagi (tingkatan 4) dan dibimbing pula secara komprehensif. Kata tugas KBAT dan stem perlu dipelbagaikan.

Punca yang ketiga ialah kesedaran tentang peri pentingnya KBAT mungkin lemah dikalangan guru, murid dan warga sekolah. LPM telah membuat kursus dan penataraan KBAT sejak tahun 2013 lagi, bermula peringkat KPM, JPN, PPD dan akhirnya sekolah. Kementerian juga akan menambah nisbah soalan KBAT dalam tempoh tiga tahun akan datang bermula tahun 2013. Adakah guru dan murid mengetahui hal ini?

Seterusnya punca yang paling penting iaitu kurang atau tiadanya kesedaran Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS). Sebenarnya ilmu sejarah itu sudah mempunyai kaedah pemikirannya sendiri dan sebagai ahli sejarah yang sejati, KPS perlu diterapkan dalam proses PdP. KPS sebenarnya sudah memiliki elemen-elemen KBAT! Dan KPS ada diterangkan dalam sukatan pelajaran Sejarah. Terdapat 5 kemahiran KPS iaitu memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interprestasi,membuat imaginisasi dan membuat rasionalisasi (baca artikel berkenaan KPS dalam page:http://tanyachegusejarah.blogspot.my/p/petuakaedah-mempelajari-sejarah-spm.html).


Iktibar
Ramai guru cepat mempelajari kelemahan ini dan telah bertindak proaktif dalam memastikan murid dapat menggunakan KBAT dalam menyelesaikan masalah. Ia merupakan satu petunjuk yang positif dalam usaha menaikkan semula GPS Sejarah SPM. Pihak JPN dan PPD juga telah bertindak secara dinamik dalam memastikan guru mendapat input KBAT yang secukupnya.

Kepada guru yang masih kabur tentang perkara ini, rujuklah pentadbir anda. Kepada murid yang kabur tentang perkara ini rujuklah guru anda. Kita semua masih belajar dan terus belajar.

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat buat semua. Wallahualam.

Salam Chegu Sejarah. 
"Learn History for Love, For Honor, For Valor"






Friday, 22 April 2016

ANTARA SKOR ANALITIK DAN RUBRIK

Salam sejarah buat semua pembaca.

Penulisan chegu kali ini diharap dapat meleraikan kekusutan berkaitan kaedah penandaan jawapan murid iaitu sama ada secara rubrik holistik atau analitikal di sekolah. Semoga penulisan ini dapat memberi kefahaman kepada calon SPM dan guru Sejarah di luar sana.

Apakah skor analitikal?
Skor analitikal merupakan peraturan markah berdasarkan coding F, H dan C. Setiap satunya memperuntukkan 1 markah.  Adakalanya secara 'borong' (mana-mana F/H/C dapat markah) dan ada kalanya perlu berstruktur (setiap fakta perlu disokong dengan huraian fakta); bergantung kepada penyelarasan peraturan pemarkahan. Skor analitikal merupakan skor yang lazim digunakan dalam penandaan Sejarah Kertas 2 sebelum SPM 2014. Pemeriksa akan menanda dengan meletakkan coding pada isi jawapan calon sama seperti coding dalam peraturan pemarkahan.

Apakah skor rubrik?
Skor rubrik merupakan peraturan pemarkahan yang dinilai secara holistik berdasarkan ketepatan fakta, olahan dan kupasan yang komprehensif serta matang malah boleh membuat inferens dan laras bahasa yang gramatis dan menarik. Dalam peraturan pemarkahan rubrik tidak ditetapkan coding, tetapi dalam penandaan, pemeriksa perlu meletakkan sendiri coding berdasarkan wisdom pemeriksa. Justeru, peraturan pemarkahan secara rubrik ini memerlukan pemeriksa memiliki disiplin yang mendalam dalam satu-satu pengetahuan sejarah. Ia mula diperkenalkan mulai SPM 2014. Pemeriksa akan baca keseluruhan isi jawapan calon secara menyeluruh untuk mendapatkan impression pertama. Seterusnya, pemeriksa akan menanda secara wisdom coding. Seterusnya pemeriksa akan nilai dari segi aras skor sama ada 1, 2, 3 atau lebih tinggi. Setiap aras ada skor tertentu seperti aras 1, markahnya 1 hingga 2, aras 2, markahnya 3-4 hingga seterusnya.

Mengapa skor rubrik?
Selari dengan hasrat KPM untuk melahirkan calon yang berkeupayaan berfikir secara aras tinggi berdasarkan PPPM 2015-2020. Ya..kemenjadian murid. Seterusnya skor rubrik mampu membezakan calon yang layak mendapat markah sepatutnya dan sewajarnya. Rumusnya, kaedah ini menekankan disiplin ilmu dan tiada jalan mudah/singkat untuk mendapat markah penuh berbanding peraturan pemarkahan secara analitik. Kesannya, walaupun terdapat dua orang calon yang mempunyai isi yang sama tetapi aras skor adalah tidak sama kerana kematangan jawapan calon itu.

Adakah skor rubrik mendiskriminasikan calon?
Secara teknikalnya ya..kerana telah ditetapkan aras, namun tujuannya adalah untuk memberikan markah yang selayaknya kepada calon. Ini kerana murid cemerlang akan berusaha dengan lebih gigih berbanding calon lain, secara teorinya. 

 Yang mana satu lebih penting? Skor analitik atau rubrik?
Sebenarnya tidak perlu membahaskan persoalan ini kerana yang penting calon menulis jawapan. Soal aras jawapan murid ia bergantung kepada bimbingan guru yang berterusan. Terpulang kepada LPM sama ada peraturan pemarkahan dibanyakkan rubrik atau sebaliknya atau sama rata.

Penekanan dan strategi kepada guru. 
Kepada guru, jangan kelirukan calon dengan terlalu menekankan kaedah penandaan rubrik. Sebaliknya bimbinglah mereka bagaimana menulis isi jawapan yang baik. Ini kerana, peranan calon ialah menjawab, manakala peranan guru pula ialah memeriksa dan menanda. Disyorkan untuk kelompok calon cemerlang, bimbinglah sehingga mereka boleh menulis jawapan yang komprehensif. Untuk calon lemah pula, jangan sekat idea mereka dengan kaedah rubrik ini, sebaliknya rangsang mereka dengan menulis idea jawapan yang munasabah tanpa memikirkan betul atau salah jawapan mereka dan jangan biarkan ruangan jawapan kosong tidak berjawab. Tidak mengapa sekiranya mereka menulis esei mudah. Sekiranya calon lemah tersebut dapat 2 hingga 3 markah daripada 6 markah penuh, sudah cukup bagus bagi mereka. Rumusnya, bimbing dan terus bimbing calon lemah ini sehingga mereka mampu memberi jawapan yang memuaskan. 

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat buat semua. Wallahualam.







Thursday, 29 October 2015

SPM 2015 SEMAKIN MENJELANG

Salam chegu sejarah buat semua calon SPM 2015.

Seperti yang kita ketahui, minggu hadapan merupakan minggu pertama SPM bertulis. Adakah anda sudah bersedia?

Murid yang chegu kasihi, tingkatkanlah ibadah kita dengan Allah. Mohonlah petunjuk dari-Nya. Semoga kita beroleh pencerahan ilmu semasa menjawab peperiksaan nanti. Banyakkanlah amalan istighfar dan taubat kerana dosa-dosa yang lalu dapat menutup hati kita ke arah cahaya ilmu. Banyakkan juga amalan-amalan sunat seperti solat hajat, sedekah dan sebagainya.

Rapatlah hubungan dengan guru di saat-saat akhir ini kerana ada keberkatannya. Guru juga ada tip-tip akhir serta strategi khusus untuk membantu calon sebagai kemudahan menjawab.

Ulangkaji, latih tubi, perbincangan berfokus, jumpa guru/bertanya sekiranya ada kemusykilan, jangan terlibat dalam salah laku disiplin serta tingkat ibadah kepada Allah merupakan antara usaha-usaha murni kita di minggu akhir ini.

Kepada Allah kita berserah dan meengharap rahmat-Nya.

Saturday, 22 August 2015

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2015

Salam chegu sejarah buat semua calon SPM 2015.

Bagaimana dengan persiapan anda untuk menghadapi peperiksaan percubaan SPM minggu hadapan?

Chegu berharap anda semua bersedia dengan mengulangkaji pelajaran serta berjumpa dengan guru-guru anda.

Tunjukkan kemampuan anda untuk memperoleh skor yang baik dan cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah.

Peperiksaan Percubaan SPM adalah peperiksaan yang kedua terpenting selepas peperiksaan SPM.

Selain berusaha, berdoalah kepada Allah semoga kita memperoleh pencerahan serta petunjuk. Chegu ucapkan selamat berjaya!