SEJARAH SPM

Tuesday 27 April 2021

TERIMA KASIH SEJARAH KBSM DAN SELAMAT DATANG SEJARAH KSSM!

 

Buku Teks Sejarah KSSM Tingkatan 4 dan 5.


    Salam Chegu Sejarah buat semua. Chegu berharap semua students di luar sana dalam keadaan sihat dan jaga diri dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

    Peperiksaan SPM 2020 telah pun berakhir dan ini bermakna SPM 2021 akan menyusul dan tamatnya sukatan pelajaran KBSM.  Sukatan pelajaran Sejarah KSSM buat kali pertamanya akan diuji dalam SPM 2021.

    Cabaran yang getir menanti calon SPM 2021 untuk memahami sukatan pelajaran ini ekoran sesi persekolahan seringkali tertangguh dan tidak dapat dijalankan kerana wabak Covid 19 yang melanda negara kita.Namun kita tidak boleh jadikannya sebagai alasan untuk tidak belajar walaupun mungkin dikalangan anda mempunyai kekangan dari segi internet dan gajet.

    Insya Allah guru anda akan memudahkan pembelajaran anda. Banyak learning aid yang mesra murid dan jimat data internet. Pembelajaran secara offline, iaitu melalui modul di rumah juga salah satu alternatif bagi murid yang ada masalah internet/gajet.

    Persoalannya, adakah anda bersedia dengan semua ini? Adakah anda boleh belajar secara kendiri di rumah dengan bimbingan guru yang minimum? 

    Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi cabaran ini. Aamiiin.

   


Saturday 23 May 2020

SALAM AIDILFITRI.

   

    Alhamdulillah. Syukur kita kepada Allah SWT kerana telah menyempurnakan ibadah puasa pada Ramadhan tahun ini. Semoga ibadah kita diterima di sisi Allah SWT. Dengan penuh rasa kesyukuran chegu mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua anak didik yang chegu kasihi dan memohon kemaafan sekiranya ada salah dan silap sepanjang pengajaran dan bimbingan chegu.

    Insya Allah, chegu ada projek baru selepas raya ini iaitu untuk menambah satu lagi menu dalam laman blog ini untuk manfaat anda semua. Doakan usaha chegu ini berjalan lancar. 

    Sampaikan salam chegu kepada ibu bapa dan penjaga anda.  Semoga kita berjumpa kembali di sekolah.


Saturday 16 May 2020

SELAMAT HARI GURU!

"BERGURU DENGAN ILMU, MEMBINA GENERASI BAHARU"



    Hari ini merupakan hari istimewa bagi semua para guru di Malaysia. Setiap 16 Mei saban tahun hari guru diraikan dengan penuh rasa keseronokan bersama murid yang tersayang. Banyak kenangan yang dicipta pada lensa kamera pada hari keramat tersebut; antaranya sukaneka, permainan, nyanyian dan acara yang sangat dinantikan oleh guru, iaitu anugerah guru yang dicalonkan murid.

    Sebutkan guru yang jenis mana,  semua ada; guru paling garang, guru paling penyayang, guru paling lawak, guru paling dedikasi, guru jelitawan, guru paling rajin, guru paling aktif,  guru paling kreatif,guru paling sado dan banyak lagi. Dewan sekolah akan menjadi saksi tepukan gemuruh dan sorakan murid apabila guru kegemaran mereka menerima anugerah.

   Namun tahun ini berbeza, sambutan hari guru tidak dijayakan kerana penutupan sekolah ekoran wabak Covid- 19. Hari guru hanya di sambut melalui ucapan-ucapan yang disampaikan oleh murid dalam media sosial. Ada juga membuat video ucapan kreatif. Terima kasih kerana menghargai kami. 
  Kami para guru melihat masa depan murid begitu mencabar. Revolusi Perindustrian 4.0 akan menjadi cabaran masa depan negara dan murid-murid kita perlu dibekalkan dengan ilmu serta kemahiran yang cukup sebagai persediaan menghadapi revolusi tersebut. Kami para guru sentiasa bersedia sebilang masa untuk tujuan tersebut.

   Tanpa rungutan dan banyak soal, guru mengambil inisiatif kreatif dengan belajar cara baru pengajaran iaitu pengajaran secara atas talian. Sejak PKP fasa pertama lagi, guru telah menyediakan sumber dan bahan pelajaran digital serta kelas video online. KPM pada masa itu belum lagi mengeluarkan SOP pengajaran dan pembelajaran di rumah. Guru sudah pun faham apakah tindakan yang seterusnya. 

    Inilah sebahagian daripada berguru dengan ilmu untuk membina generasi baharu yang menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran dan dikukuhkan dengan agama serta nilai moral. Generasi yang akan menyambung pembinaan negara bangsa. Teruskan perjuangan wahai sahabat guruku.







     

Friday 8 May 2020

CABARAN CALON SPM 2020

Salam Chegu Sejarah buat semua calon SPM 2020.

    Chegu berharap di kala ini anda semua berada dalam keadaan sihat bersama keluarga tersayang dan terus kekal di rumah kerana negara kita masih lagi dalam tempoh PKP. Chegu juga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan walaupun agak terlewat. Manfaatkan bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah kepada-Nya.

    Tahun ini merupakan tahun yang sukar kepada calon SPM. Wabak Covid-19 yang telah melanda dunia telah menjejaskan hampir semua sektor perkhidmatan termasuklah perkhidmatan pendidikan.  Di negara kita guru dan murid masih tidak dibenarkan lagi kembali ke sekolah untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dan ini bermakna pembelajaran berlaku di rumah.

    Maka, pelbagai pelantar pembelajaran digital oleh guru untuk menyampaikan isi pelajaran secara atas talian kepada murid di rumah. Sungguh pun begitu, terdapat sebahagian murid tidak sepenuhnya menyertai kelas online tersebut manakala sebahagian yang lain pula tiada maklum balas sejak pembelajaran online yang pertama.
   
     Inilah cabaran kepada calon SPM, tanpa disedari anda telah ketinggalan jauh dalam pelajaran. Malah, anda juga tidak mendapat tips, kemahiran dan panduan berguna peperiksaan. Apabila sekolah di buka semula nanti anda perlu catch up semuanya dengan pantas. Chegu menyeru supaya anda  seboleh-bolehnya tidak ketinggalan dalam pelajaran dalam tempoh PKP ini. Sekiranya tidak boleh menyertai kelas online, tontonilah siaran TV Pendidikan sebagai ganti atau belajar kendiri melalui buku teks dan buku kerja.

    Inilah bakti anda kepada negara dalam situasi sukar ini. Semoga kita berjumpa lagi di sekolah.
          
  

TANYA CHE'GU SEJARAH SEBAGAI INTEGRASI BAHAN BANTU BELAJAR MURID

Salam Chegu Sejarah buat semua.

    Sebagai makluman kepada semua guru dan murid, laman blog ini dibina bagi memudahkan murid mendapat bahan bantu belajar seperti nota, modul, lembaran kerja, slaid pelajaran dan sebagainya. Sebahagian besar bahan bantu belajar tersebut didapati dari sumber internet, guru sumber dan guru subject mater expert dari seluruh negara. Chegu sendiri juga ada menyumbang dalam menghasilkan bahan bantu belajar tersebut.

    Bagi bahan dari sumber internet, chegu telah membuat tapisan dengan memilih bahan yang benar-benar relevan, manakala bagi bahan dari guru sumber dan guru subject matter expert, chegu telah meminta kebenaran terlebih dahulu daripada guru-guru tersebut. Kepelbagaian bahan bantu belajar ini telah diintegrasikan dengan mudah melalui MENU dalam blog ini. Segala sumber yang terdapat dalam laman blog ini adalah tidak berdasarkan keuntungan; justeru diharapkan tiada penyelewengan sumber tersebut untuk tujuan perniagaan.

    Terima kasih kerana mengikut laman blog chegu. Semoga anda berjaya dalam SPM!

Tuesday 5 May 2020

LAMAN BARU: E-PEMBELAJARAN

Salam Chegu Sejarah kepada anda semua.

Di sini chegu kongsikan beberapa pengajaran guru-guru Sejarah subject matter expert khusus kepada anak didik di sekolah chegu dan di luar sana. Pembelajaran anak-anak didik perlu diteruskan demi kejayaan dalam SPM nanti.

Sehubungan itu, anda boleh mengakses laman tersebut dalam blog ini pada MENU atau klik pada pautan ini:


Diharapkan supaya perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda semua terutama dalam situasi sukar kini ekoran wabak Covid-19.

Selamat belajar!

Saturday 2 May 2020

NORMA BARU PEMBELAJARAN

Salam dari Che'gu Sejarah.

Dunia kini sedang dilanda wabak penyakit Covid-19 dan banyak negara di dunia yang menjalani perintah berkurung atau lockdown. Negara kita pula menjalani Perintah Kawalan Pergerakan. Ini bermakna banyak sektor penting negara ditutup termasuk sektor perkhidmatan pendidikan.

Sehubungan itu, murid-murid dan kakitangan pendidikan tidak dibenarkan ke sekolah untuk memastikan rantaian penyebaran virus Covid-19 dapat diputuskan. Kesannya, pembelajaran bersemuka guru-murid tidak dapat dijalankan.

Maka bermulalah era baru pembelajaran di negara kita. Pembelajaran digital menjadi norma baru dalam tempoh PKP. Di rumah, guru dan murid menggunakan pelantar pembelajaran maya seperti Google Classroom, Google Meet dan lain-lain  yang difikirkan sesuai bagi memastikan ilmu dan pelajaran dapat disampaikan secara atas talian.

Walaupun PKP ditamatkan nanti dan murid-murid sudah boleh kembali ke sekolah, suasana pembelajaran akan berbeza dan murid-murid perlu cepat membiasakannya. Perubahan ini melibatkan;
  • Penjarakan sosial
  • Saiz kelas akan dikurangkan
  • Tiada perhimpunan besar
  • Memakai penutup hidung dan mulut
  • Amalan mencuci tangan dengan air dan sabun atau pun hand sanitizer
  • Pengambilan suhu badan
  • Pembelajaran secara atas talian
  • Pembelajaran melibatkan calon peperiksaan awam sahaja
  • dan lain-lain.
Chegu berharap anda bersedia untuk menghadapi perubahan ini terutama calon SPM. Insya Allah, semoga Allah memudahkan urusan kita semua. Sama-samalah kita berdoa supaya wabak ini berakhir.