SEJARAH SPM

Saturday 16 May 2020

SELAMAT HARI GURU!

"BERGURU DENGAN ILMU, MEMBINA GENERASI BAHARU"



    Hari ini merupakan hari istimewa bagi semua para guru di Malaysia. Setiap 16 Mei saban tahun hari guru diraikan dengan penuh rasa keseronokan bersama murid yang tersayang. Banyak kenangan yang dicipta pada lensa kamera pada hari keramat tersebut; antaranya sukaneka, permainan, nyanyian dan acara yang sangat dinantikan oleh guru, iaitu anugerah guru yang dicalonkan murid.

    Sebutkan guru yang jenis mana,  semua ada; guru paling garang, guru paling penyayang, guru paling lawak, guru paling dedikasi, guru jelitawan, guru paling rajin, guru paling aktif,  guru paling kreatif,guru paling sado dan banyak lagi. Dewan sekolah akan menjadi saksi tepukan gemuruh dan sorakan murid apabila guru kegemaran mereka menerima anugerah.

   Namun tahun ini berbeza, sambutan hari guru tidak dijayakan kerana penutupan sekolah ekoran wabak Covid- 19. Hari guru hanya di sambut melalui ucapan-ucapan yang disampaikan oleh murid dalam media sosial. Ada juga membuat video ucapan kreatif. Terima kasih kerana menghargai kami. 
  Kami para guru melihat masa depan murid begitu mencabar. Revolusi Perindustrian 4.0 akan menjadi cabaran masa depan negara dan murid-murid kita perlu dibekalkan dengan ilmu serta kemahiran yang cukup sebagai persediaan menghadapi revolusi tersebut. Kami para guru sentiasa bersedia sebilang masa untuk tujuan tersebut.

   Tanpa rungutan dan banyak soal, guru mengambil inisiatif kreatif dengan belajar cara baru pengajaran iaitu pengajaran secara atas talian. Sejak PKP fasa pertama lagi, guru telah menyediakan sumber dan bahan pelajaran digital serta kelas video online. KPM pada masa itu belum lagi mengeluarkan SOP pengajaran dan pembelajaran di rumah. Guru sudah pun faham apakah tindakan yang seterusnya. 

    Inilah sebahagian daripada berguru dengan ilmu untuk membina generasi baharu yang menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran dan dikukuhkan dengan agama serta nilai moral. Generasi yang akan menyambung pembinaan negara bangsa. Teruskan perjuangan wahai sahabat guruku.