SEJARAH SPM

KEMAHIRAN BELAJAR SEJARAH SPM


DISIPLIN 1: FOKUS DAN TUMPUAN PENUH SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DALAM KELAS.

-Kaedah ini merupakan kaedah yang paling asas dalam mempelajari sejarah dalam kelas yang diajar oleh guru sejarah. Sikap pelajar yang tidak menumpukan perhatian, tidak bersedia dan mengangggu pengajaran menjadi punca pelajar lemah dan tidak menguasai subjek sejarah. Acap kali alasan yang diberikan oleh pelajar ialah tidak minat sejarah sedangkan di dalam kelas semasa pengajaran guru mereka menunjukkan sikap seperti yang saya sebutkan tadi di atas. Persoalan minat atau tidak terhadap mata pelajaran sejarah sepatutnya tidak timbul, jika pelajar menunjukkan sikap yang sepatutnya semasa mempelajari sejarah, minat terhadap sejarah itu akan beransur-ansur datang dalam jiwa.
Berikut saya senaraikan apa yang perlu dibuat oleh pelajar ketika mempelajari sejarah dalam kelas:

  1. Membuat pembacaan awal buku teks sejarah sebagai persediaan belajar dalam kelas
Lazimnya pada awal tahun, guru sejarah akan mengajar bab yang pertama dalam buku teks sejarah. Justeru, pelajar digalakkan membuat persediaan di rumah dengan membaca buku teks sejarah. Kenal pasti objektif pembelajaran dan baca secara keseluruhan bab.Begitu jugalah dengan bab-bab yang seterusnya supaya kita bersedia dengan pengetahuan sejarah yang sedia ada untuk kelas sejarah keesokannya.

2. Memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru dalam kelas.

Selepas bersedia dengan membuat pembacaan awal di rumah, tumpuan penuh perlu diberikan semasa guru sedang mengajar dalam kelas. Lazimnya guru akan menekankan objektif atau tujuan pembelajaran dalam bab-bab sejarah. Contohnya, bagi objektif bab pertama tingkatan 4 ialah menyatakan maksud tamadun. Seharusnya pelajar peka terhadap kuliah guru, rajah, carta, jadual dan peristiwa yang dihuraikan oleh guru. Buat catatan pada buku teks dengan pensel atau gariskan fakta penting. Bagi penulis yang juga seorang guru, menggalakkan pelajarnya menanda fakta penting, huraian fakta serta contoh-contoh yang terdapat dalam buku teks dengan menggunakan pen warna atau 'highlighter pen'. Ini memudahkan pelajar membuat rujukan pantas kelak dan juga ia merangsang daya ingatan.

Suka saya mengingatkan kepada semua pelajar, buku teks sejarah tingkatan 4 dan 5 adalah rujukan utama dalam mempelajari sejarah. Buku rujukan sejarah yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat buku adalah tidak digalakkan tetapi boleh digunakan sebagai rujukan kedua. Ini kerana soalan-soalan SPM diambil/diolah/digubal daripada buku teks. Tambahan pula, buku teks sejarah merupakan contoh esei yang cemerlang. Ya, memang benar tulisan dan teks dalam buku teks panjang lebar dan sesetengah pelajar menganggap ianya cerita yang meleret, tetapi dengan kaedah membaca yang betul, pembacaan sejarah akan menjadi menarik serta tuntas. Kaedah membaca buku teks sejarah akan dibincangkan nanti dibawah.

Berbalik kepada tumpuan di dalam kelas, ramai pelajar malu bertanya semasa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Perasaan malu yang tidak bertempat ini perlulah dikikis kerana sebarang ketidakfahaman dalam P&P  akan menjejaskan pengetahuan sejarah. Cara yang baik ialah dengan menanya guru serta-merta berkenaan perkara yang kita tidak faham dengan sopan dan beradab. Guru tidak akan marah, malah guru akan mengulang topik/subtopik yang kita tidak faham dengan penjelasan yang mudah kita fahami. Apabila kita faham 100% subtopik tersebut, kita hampir menguasai topik tersebut.



DISIPLIN 2: KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH




Walaupun mata pelajaran Sejarah bukannya mata pelajaran sains jati (tulen) yang memerlukan kaedah saintifik dan empirikal namun tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam membina aras kemahiran berfikir yang tinggi. Ilmu Sejarah menekankan persoalan Apa?, Siapa? Bila? Dimana?, Mengapa? dan Bagaimana? yang mana persoalan Mengapa? dan Bagaimana? menjadi keutamaan. Kemahiran ini memerlukan pelajar berfikir ke aras yang lebih tinggi. Disini lahirlah istilah seperti Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kebolehan pelajar memberi tafsiran yang berlandaskan fakta Sejarah menjadikan Ilmu Sejarah itu lebih istimewa dan menarik untuk dibincangkan. Ianya satu proses yang berterusan yang setanding dengan proses sains.




Justeru, adalah perlu pelajar mengaplikasi Kemahiran Pemikiran Sejarah. Terdapat 5 kemahiran pemikiran Sejarah iaitu:




a) Memahami Kronologi

 Ia merupakan elemen yang penting dalam mempelajari sejarah. Pelajar sepatutnya       dapat melihat gambaran pada masa lalu, kini dan juga akan datang. Pelajar juga perlu memahami konsep serta konversi masa melalui aturan peristiwa yang tersusun berdasarkan kepentingan peristiwa sejarah.



b) Meneroka bukti

Ilmu Sejarah sangat mementingkan bukti. Peri pentingnya bukti ini dapat dilihat melalui  sumber pertama dan sumber kedua dan dapat membandingkan antara keduanya.
Ia juga menentukan signifikan, tarikh, tokoh, lokasi serta bagaimana peristiwa itu berlaku.



c) Membuat Interprestasi

Interprestasi bermaksud tafsiran. Dalam konteks sejarah ia bermaksud kebolehan ahli sejarah/pelajar sejarah membuat tafsiran berlandaskan fakta/sumber/bukti sejarah. Berbeza dengan perspektif; yang mana ia adalah pandangan/pendapat terhadap ruang lingkup kajian sejarah. Ini merupakan satu kemahiran yang kompleks yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi.



d) Membuat imiginasi

Kefahaman dalam mempelajari sejarah boleh dicapai melalui proses imiginisasi. Pelajar perlu melibatkan diri dalam sesuatu peristiwa sejarah dan yang paling penting dapat membuat imiginisasi secara visual dan empati (meletakkan diri dalam situasi).



e) Membuat Rasionalisasi

Ia merupakan satu kemahiran yang menggunakan akal fikiran untuk membuat pertimbangan yang wajar bagi menyelesaikan sesuatu persoalan sejarah. Ini memerlukan kemahiran mengumpul data, hipotesis, menentukan signifikann bukti dan membuat inferens. Ia juga melibatkan rasionalisasi melalui kajian sumber sejarah secara kritis.


DISIPLIN 3: MENYIAPKAN SEGALA TUGASAN SEJARAH YANG DIBERIKAN OLEH  GURU PADA MASA YANG DITETAPKAN

Tugasan yang diberikan oleh guru boleh dalam bentuk kerja rumah, latihan, kertas kerja, jurnal, temuramah dan sebagainya. Ada tugasan yang perlu disiapkan semasa persekolahan. Ada tugasan yang perlu disiapkan dirumah. Semua tugasan tersebut telah diberikan tarikh/masa akhir penghantaran dan pelajar perlu mematuhi tarikh/masa akhir tersebut.

Tugasan yang dibuat semasa P&P dalam kelas tidak mendatangkan masalah kepada pelajar kerana adanya guru disisi membimbing pelajar. Masalah akan timbul jika guru memberikan tugasan yang perlu dibuat di luar sekolah/kerja lapangan kerana pelajar tidak faham tugasan tersebut. Seperti dalam P&P, pelajar sepatutnya bertanya guru jika tidak faham tugasan tersebut.

Kepatuhan menghantar tugasan mengikut masa yang ditetapkan guru akan membolehkan guru menyemak tugasan dan seterusnya memberikan maklumbalas dan teguran pada kelas akan datang.

DISIPLIN 4: STUDI BUKU TEKS SEJARAH SPM

Dalam mempelajari Sejarah, amalan membaca buku teks sejarah tidak boleh dipisahkan. Faktor ini akan menentukan sama ada pelajar itu mempunyai pengetahuan sejarah atau tidak. Malangnya, terdapat sesetengah pelajar tidak mengamalkan budaya membaca ini; pendapat mereka;'' buku teks sejarah biarlah jadi sejarah" adalah tidak tepat sama sekali dan menjadi taboo kepada pelajar-pelajar. Kita mesti ubah tetapan minda yang tidak sihat ini.

Sebagai kemudahan, saya senaraikan dua kaedah membaca buku teks yang boleh diikuti semua pelajar iaitu:

a) Membaca dan Fahami Keseluruhan Bab
Pelajar perlu membaca keseluruhan bab dalam buku teks dari pengenalan sehingga akhir bab iaitu rumusan, baris demi baris, perenggan demi perenggan. Kaedah ini menggunakan masa yang agak panjang kerana pelajar perlu membaca setiap perincian dalam buku teks. Faedah yang diperolehi dengan menggunakan kaedah ini ialah kita dapat mengetahui kesinambungan peristiwa dan cerita sejarah dalam buku teks. Kaedah ini sesuai digunakan sebagai pembacaan awal di rumah serta waktu terluang.

b) Membaca dan Mengenalpasti Fakta,Huraian Fakta dan Contoh.
Kaedah pembacaan ini berfokus terhadap objektif pembelajaran yang mana pelajar perlu mencerakinkan teks kepada fakta, huraian fakta serta contoh. Kaedah ini amat penting semasa membuat rujukan express sewaktu pembelajaran dalam kelas. Bagaimana untuk mengenal pasti fakta, huraian fakta dan contoh? Baiklah, saya sertakan contoh teks dalam buku sejarah tingkatan 4 di bawah:

"Masyarakat Arab Jahiliah mengamalkan perbuatan tidak bermoral iaitu minum arak, berzina dan juga berjudi. Bagi mereka, lelaki minum arak sehingga mabuk dianggap telah menjadi lelaki yang sempurna. Mereka juga menanam bayi perempuan hidup-hidup sejurus dilahirkan. Hal ini kerana kelahiran tersebut menjatuhkan maruah keluarga".
(Dipetik dan diolah daripada buku teks sejarah tingkatan 4)

Teks tersebut membincangkan ciri-ciri masyarakat Arab Jahiliah dalam bab 4, tingkatan 4. Baik, cuba kita cerakinkan teks tersebut:

FAKTA-perbuatan tidak bermoral
HURAIAN FAKTA-minum arak
HURAIAN FAKTA-berzina
HURAIAN FAKTA-berjudi
HURAIAN FAKTA-Bagi mereka, lelaki minum arak sehingga mabuk dianggap telah menjadi lelaki yang sempurna
HURAIAN FAKTA-menanam bayi perempuan hidup-hidup sejurus dilahirkan. Hal ini kerana kelahiran tersebut menjatuhkan maruah keluarga"

Disarankan kepada pelajar untuk menanda fakta, huraian fakta dan contoh tersebut yang telah dicerakinkan dengan pen highlighter dalam buku teks. Pelajar juga boleh membuat nota sendiri dalam bentuk I-THINK, peta minda, peta konsep, kartun, carta, jadual dan sebagainya berdasarkan cerakinan pelajar tadi untuk menjadi lebih menarik dan merangsang ingatan minda. Lihat contoh melalui pautan ini: http://padlet.com/wall/historysketch

Daripada fakta, huraian fakta dan contoh  yang telah kita senaraikan di atas kita boleh jadikan ia panduan/rangka jawapan dalam membina esei sejarah yang cemerlang.



Chegu sering kali dilontar pertanyaan oleh calon tentang kaedah hafal fakta yang berkesan dalam sejarah. Begini, hafal fakta memang penting tetapi bagaimana dengan kefahaman konsep sejarah? Konsep sejarah itu lebih penting daripada hanya menghafal semata-mata malah ianya menjadi disiplin ilmu utama dalam pengajian sejarah. Seperti yang telah chegu terangkan di atas, bina konsep sejarah yang menarik serta merangsang daya ingatan! Pemahaman konsep sejarah akan memudahkan hafalan.




Jangan lupa untuk studi/ulangkaji bahagian Sudut Maklumat dan Sudut Tahukah Anda dalam buku teks Sejarah. Ianya juga boleh diuji sebagai soalan peperiksaan.



DISIPLIN 5: LATIH TUBI MENJAWAB SOALAN SPM SEJARAH TAHUN-TAHUN LEPAS, SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI LAIN DAN SOALAN-SOALAN DARI SYARIKAT BUKU PILIHAN

Disarankan pelajar membuat latih tubi dengan menjawab soalan-soalan SPM Sejarah tahun-tahun lepas. Secara tidak langsung pelajar akan tahu format soalan, pattern soalan dan boleh membuat analisis bab/tajuk/subtajuk. Kini, terdapat syarikat buku yang menerbitkan soalan-soalan tahun lepas bersama skema jawapan dengan izin Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelajar bolehlah mendapatkan buku tersebut di kedai-kedai buku berhampiran. Pelajar juga boleh membuat latih tubi soalan percubaan SPM dari negeri-negeri lain dan soalan dari syarikat buku pilihan.





Chegu sarankan calon SPM sekurang-kurangnya memiliki buku ini sebagai bahan untuk study/ulangkaji

Bagaimana nak latih tubi? Chegu cadangkan kaedah ini:

  1. Dapatkan buku/koleksi soalan-soalan SPM Sejarah tahun-tahun lepas.
  2. Pelajar boleh membuat latih tubi dengan merujuk buku teks iaitu
  • Setelah dapat mencari jawapan, jangan lupa untuk merujuk subtopik/tajuk/bab yang ditanya dalam soalan tersebut supaya jika soalan yang sama ditanya kita boleh jawab tanpa rujuk buku.
  • Rujukan jawapan dibuat bagi soalan yang kita betul-betul tidak tahu/tidak pasti jawapannya.
  • Bandingkan jawapan pelajar dengan skema jawapan. Jika tidak sama, semak/rujuk semula buku teks/berjumpa guru sejarah anda.
  • Buat pembetulan dengan serta merta pada kertas soalan/skrip jawapan pelajar.
                                                            atau
  1. Pelajar menjawab soalan-soalan sehingga selesai, kemudian barulah menyemak jawapan dengan menggunakan skema jawapan yang dibekalkan.
  2. Rujuk buku teks untuk mengenal pasti tajuk/subtajuk jawapan tersebut.
  3. Buat pembetulan dengan serta merta pada kertas soalan/skrip jawapan pelajar.
  4. Jumpa guru sejarah anda jika tidak faham/ada sebarang kemusykilan.

                           atau (kaedah ini sangat Che gu Sarankan)

  1. Pelajar menjawab soalan sehingga selesai. Semak jawapan berpandukan peraturan pemarkahan. 
  2. Tetapkan satu standard yang tinggi dalam menjawab soalan. Contoh: untuk kertas 1, jika pelajar mendapat skor kurang daripada 35, maka pelajar perlu ulang jawab soalan tersebut sehingga mendapat markah 35/40, kemudian barulah menjawab set soalan seterusnya. Makin tinggi standard dan makin banyak ulang jawab sehingga semua betul, makin besar peluang kita skor A Sejarah SPM. Begitu juga untuk kertas 2 dan 3.
DISIPLIN 6: SERING BERJUMPA DENGAN GURU SEJARAH ANDA



Tidak ramai pelajar yang selalu berjumpa guru di bilik guru untuk bertanyakan soalan atau kemusykilan dalam pelajaran. Perjumpaan akademik ini perlu pelajar amalkan kerana perjumpaan guru-murid (pertemuan 4 mata atau lebih) membolehkan guru mengenalpasti masalah dan kelemahan pelajar dan seterusnya menasihati, membimbing dan memberi jalan penyelesaian kepada murid tersebut. Tidak seperti dalam kelas, guru sejarah perlu memberi tumpuan kepada semua pelajar, yang mana input perlu diberi sama rata kepada semua pelajar. Dengan personal consultant/coaching melalui perjumpaan akedemik ini, pelajar mendapat tips, petua serta penyelesaian kepada masalah yang menghantui pelajar selama ini.




Pelajar-pelajar juga boleh menghubungi guru sejarah anda secara talian di internet. Sebagai contoh, saya sebagai chegu Sejarah telah membina laman blog akademik Sejarah SPM. Selain daripada itu pelajar juga boleh mengguanakan laman blog saya sebagai alat ulangkaji, bacaan, rujukan, perbincangan, permasalahan dan juga pembelajaran. Sila ikuti saya, Che'gu Sejarah di http://tanyachegusejarah.blogspot.com/





DISIPLIN 7: MENGETAHUI FORMAT PEPERIKSAAN SPM SEJARAH DAN MENGUASAI TEKNIK/STRATEGI MENJAWAB PEPERIKSAAN SPM SEJARAH


Telah maklum bahawa bermula tahun 2013, SPM bagi mata pelajaran Sejarah mengalami perubahan format peperiksaan. Calon perlu tahu apakah ciri-ciri perubahan tersebut serta mematuhi semua syarat peperiksaan yang telah ditetapkan. Ini bermakna, strategi menjawab peperiksaan juga berlaku perubahan.  Untuk makluman lebih lanjut, sila klik pada pautan chegu di http://tanyachegusejarah.blogspot.com/p/format-baru-sejarah-spm-mulai-tahun-2013.html atau di http://padlet.com/wall/teknikjawabsejspm

 
DISIPLIN 8: BERDOA DAN BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH

Setelah kita berusaha, jangan lupa dekatkanlah diri kita kepada Pencipta kerana semua ilmu dalam dan luar dunia ini adalah milik Allah dan Dia jugalah yang memberi ilmu kepada sesiapa sahaja yang Dia sukai, dan boleh menarik semula ilmu itu bila-bila masa Dia sukai.
Berdoa, tawakkal, banyakkan sedeqah, minta restu dengan guru dan ibu bapa, bertaubat kepada Allah, minta maaf kepada ibu bapa dan sahabat kita. Mudah-mudahan keputusan SPM kita cemerlang dan Sejarah mendapat A+.