SEJARAH SPM

Friday 22 April 2016

ANTARA SKOR ANALITIK DAN RUBRIK

Salam sejarah buat semua pembaca.

Penulisan chegu kali ini diharap dapat meleraikan kekusutan berkaitan kaedah penandaan jawapan murid iaitu sama ada secara rubrik holistik atau analitikal di sekolah. Semoga penulisan ini dapat memberi kefahaman kepada calon SPM dan guru Sejarah di luar sana.

Apakah skor analitikal?
Skor analitikal merupakan peraturan markah berdasarkan coding F, H dan C. Setiap satunya memperuntukkan 1 markah.  Adakalanya secara 'borong' (mana-mana F/H/C dapat markah) dan ada kalanya perlu berstruktur (setiap fakta perlu disokong dengan huraian fakta); bergantung kepada penyelarasan peraturan pemarkahan. Skor analitikal merupakan skor yang lazim digunakan dalam penandaan Sejarah Kertas 2 sebelum SPM 2014. Pemeriksa akan menanda dengan meletakkan coding pada isi jawapan calon sama seperti coding dalam peraturan pemarkahan.

Apakah skor rubrik?
Skor rubrik merupakan peraturan pemarkahan yang dinilai secara holistik berdasarkan ketepatan fakta, olahan dan kupasan yang komprehensif serta matang malah boleh membuat inferens dan laras bahasa yang gramatis dan menarik. Dalam peraturan pemarkahan rubrik tidak ditetapkan coding, tetapi dalam penandaan, pemeriksa perlu meletakkan sendiri coding berdasarkan wisdom pemeriksa. Justeru, peraturan pemarkahan secara rubrik ini memerlukan pemeriksa memiliki disiplin yang mendalam dalam satu-satu pengetahuan sejarah. Ia mula diperkenalkan mulai SPM 2014. Pemeriksa akan baca keseluruhan isi jawapan calon secara menyeluruh untuk mendapatkan impression pertama. Seterusnya, pemeriksa akan menanda secara wisdom coding. Seterusnya pemeriksa akan nilai dari segi aras skor sama ada 1, 2, 3 atau lebih tinggi. Setiap aras ada skor tertentu seperti aras 1, markahnya 1 hingga 2, aras 2, markahnya 3-4 hingga seterusnya.

Mengapa skor rubrik?
Selari dengan hasrat KPM untuk melahirkan calon yang berkeupayaan berfikir secara aras tinggi berdasarkan PPPM 2015-2020. Ya..kemenjadian murid. Seterusnya skor rubrik mampu membezakan calon yang layak mendapat markah sepatutnya dan sewajarnya. Rumusnya, kaedah ini menekankan disiplin ilmu dan tiada jalan mudah/singkat untuk mendapat markah penuh berbanding peraturan pemarkahan secara analitik. Kesannya, walaupun terdapat dua orang calon yang mempunyai isi yang sama tetapi aras skor adalah tidak sama kerana kematangan jawapan calon itu.

Adakah skor rubrik mendiskriminasikan calon?
Secara teknikalnya ya..kerana telah ditetapkan aras, namun tujuannya adalah untuk memberikan markah yang selayaknya kepada calon. Ini kerana murid cemerlang akan berusaha dengan lebih gigih berbanding calon lain, secara teorinya. 

 Yang mana satu lebih penting? Skor analitik atau rubrik?
Sebenarnya tidak perlu membahaskan persoalan ini kerana yang penting calon menulis jawapan. Soal aras jawapan murid ia bergantung kepada bimbingan guru yang berterusan. Terpulang kepada LPM sama ada peraturan pemarkahan dibanyakkan rubrik atau sebaliknya atau sama rata.

Penekanan dan strategi kepada guru. 
Kepada guru, jangan kelirukan calon dengan terlalu menekankan kaedah penandaan rubrik. Sebaliknya bimbinglah mereka bagaimana menulis isi jawapan yang baik. Ini kerana, peranan calon ialah menjawab, manakala peranan guru pula ialah memeriksa dan menanda. Disyorkan untuk kelompok calon cemerlang, bimbinglah sehingga mereka boleh menulis jawapan yang komprehensif. Untuk calon lemah pula, jangan sekat idea mereka dengan kaedah rubrik ini, sebaliknya rangsang mereka dengan menulis idea jawapan yang munasabah tanpa memikirkan betul atau salah jawapan mereka dan jangan biarkan ruangan jawapan kosong tidak berjawab. Tidak mengapa sekiranya mereka menulis esei mudah. Sekiranya calon lemah tersebut dapat 2 hingga 3 markah daripada 6 markah penuh, sudah cukup bagus bagi mereka. Rumusnya, bimbing dan terus bimbing calon lemah ini sehingga mereka mampu memberi jawapan yang memuaskan. 

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat buat semua. Wallahualam.