SEJARAH SPM

Wednesday 11 May 2016

KBAT SEJARAH: TANGGAPAN YANG PERLU DIPERBETULKAN

Salam chegu sejarah buat semua pembaca yang budiman.

Penulisan chegu kali ini berkenaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Mata Pelajaran Sejarah Menengah Atas yang bertujuan membetulkan tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah di kalangan guru sejarah dan calon SPM. Artikel ini dikupas dengan sedemikian rupa supaya guru dan calon dapat memahami dengan mudah tentang KBAT dan disyorkan artikel ini dibaca bersama dengan buku Pentaksiran KBAT yang dikeluarkan oleh LPM, KPM. Sebelum kita bincangkan tajuk ini dengan panjang lebar, eloklah kita menghayati takrifan KBAT terlebih dahulu.

Takrifan KBAT
Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, KBAT ditakrifkan sebagai keupayaan untuk mengapliksikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.

Maka KBAT berfokus kepada empat konstruk pemikiran dan kemahiran yang utama iaitu:

Menganalisis
Berupaya mencerakinkan atau menstruktur maklumat kepada bahagian yang lebih kecil, menentukan bagaimana bahagian struktur keseluruhan atau matlamat berkaitan antara satu sama lain.

Menilai
Membuat pertimbangan berdasarkan kriteria dan standard melalui pemeriksaan dan kritikan.

Mengaplikasi
Kebolehan kognitif yang menggunakan prinsip dan generalisasi tentang sesuatu terhadap suatu masalah atau situasi baharu.

Mencipta/Menjana Idea
Menyatukan elemen untuk membentuk sesuatu, menyusun, menjana, merancang atau menghasilkan semula elemen kepada corak atau struktur yang baharu.

Justeru, Kemahiran Berfikir Aras Rendah  (KBAR) adalah perlu dalam menyediakan murid pengetahuan dan kemahiran asas sebelum menguasai KBAT.

Isu KBAT dalam SPM 2015, Subjek Sejarah
Rata-rata murid (respon kebanyakan murid sekolah harian biasa) menyatakan soalan yang diuji tiada KBAT, sukar dan berbeza dari SPM sebelumnya. Reaksi guru pula berbeza-beza iaitu soalan KBAT terlalu banyak dan tidak kurang juga yang menyatakan tiada soalan KBAT yang boleh membantu calon dapat markah. Terdapat juga guru yang menyatakan soalan tersebut mudah dan tiada bezanya dengan tahun-tahun lepas.

Selepas Sejarah K2 berakhir, isu ini hangat disensasikan dalam media sosial dan menerima pelbagai kritikan dan sendaan dan seterusnya menjadi bahan jenaka. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan mungkin tindakan mereka itu disebabkan mereka  tidak didedahkan dengan item KBAT secara menyeluruh di sekolah.

Tanggapan Salah Terhadap KBAT Sejarah
Sebenarnya item KBAT Sejarah dalam SPM 2015 tiada masalah dari sudut keakuran, ketekalan, kesahan dan kebolehpercayaan. Masalah utama datang dari pemahaman guru dan murid tentang KBAT itu sendiri. Selepas peperiksaan berakhir, penulis meneliti sendiri skrip Sejarah K2 yang didakwa sukar dan tiada soalan KBAT yang boleh membantu calon dapat markah. Hasil penelitian penulis mendapati murid dan guru mempunyai tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah iaitu:

KBAT ialah nilai-nilai murni dan unsur patriotisme
Nilai-nilai murni dan unsur patriotisme termasuk dalam konstruk nilai dan sikap manakala KBAT termasuk dalam konstruk kemahiran. KBAR pula termasuk dalam konstruk pengetahuan. KBAT mesti merangkumi 4 kaedah pemikiran yang utama  iaitu menganalisis, menilai, mengaplikasi dan menjana idea serta bukannya semata-mata nilai murni/unsur patriotik.

KBAT mestilah bermula dengan kata tugas pada pandangan anda...pendapat anda..berdasarkan pengetahuan sejarah anda...dan lain-lain
SPM 2015 menyaksikan tiada item yang menggunakan kata tugas ini yang menyebabkan calon beranggapan soalan tiada KBAT. Sebenarnya majoriti soalan yang diuji ialah KBAT.

KBAT ialah apa yang dipelajari dalam bilik darjah.
SPM 2015 menyaksikan soalan didahului dengan stimulus (gambar, teks, peta dsb) dan stimulus itu tiada dalam buku teks (tidak pernah dipelajari/dilihat) menyebabkan calon tidak berupaya menulis idea jawapan. Antara ciri item KBAT ialah konteks bukan lazim iaitu menggunakan situasi baharu di luar bilik darjah serta menggalakkan murid berfikir dengan lebih mendalam dan bukan sekadar mengingat semula apa yang dipelajari dalam bilik darjah. Item KBAT juga merupakan situasi sebenar dalam kehidupan seharian murid.

Strategi Guru dan Murid Tidak Menjadi
Ramai guru sejarah yang kreatif dan inovatif telah mencipta satu kaedah baru dalam usaha memastikan murid dapat menjawab soalan SPM dengan baik dan cemerlang. Inovasi tersebut juga pernah memenangi beberapa pertandingan utama peringkat daerah, negeri dan mungkin kebangsaan. Kaedah baru tersebut dilihat satu cara pintas dan pantas untuk menjawab soalan KBAT. Apabila KPM menguji KBAT dalam SPM 2015, kaedah tersebut akhirnya memerangkap calon SPM.

Kita tidak boleh persalahkan mana-mana pihak dalam hal ini kerana kaedah tersebut terbukti berjaya dan menunjukkan keberhasilan dalam SPM tahun- tahun lepas. Mungkin inovasi tersebut perlu diinovasikan semula supaya seiring dan memenuhi KBAT.

Punca
Tanggapan yang salah terhadap KBAT Sejarah mungkin berpunca daripada kecairan maklumat semasa penataraan KBAT di peringkat daerah yang mana wakil guru yang telah menghadiri kursus tidak menatarkan pula maklumat KBAT tersebut di kalangan warga pendidik di sekolah. Buku Pentaksiran KBAT yang dibekalkan di sekolah pula sekadar menjadi hiasan di rak buku.

Punca kedua pula ialah murid tidak didedahkan dengan item KBAT secara menyeluruh. Walaupun murid telah didedahkan dengan alat pemikiran KBAT seperti i-THINK, ianya belum mencukupi bagi murid mengasah KBAT. Maka latihan/tugasan yang mengandungi item KBAT perlu didedahkan kepada murid sejak dari awal lagi (tingkatan 4) dan dibimbing pula secara komprehensif. Kata tugas KBAT dan stem perlu dipelbagaikan.

Punca yang ketiga ialah kesedaran tentang peri pentingnya KBAT mungkin lemah dikalangan guru, murid dan warga sekolah. LPM telah membuat kursus dan penataraan KBAT sejak tahun 2013 lagi, bermula peringkat KPM, JPN, PPD dan akhirnya sekolah. Kementerian juga akan menambah nisbah soalan KBAT dalam tempoh tiga tahun akan datang bermula tahun 2013. Adakah guru dan murid mengetahui hal ini?

Seterusnya punca yang paling penting iaitu kurang atau tiadanya kesedaran Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS). Sebenarnya ilmu sejarah itu sudah mempunyai kaedah pemikirannya sendiri dan sebagai ahli sejarah yang sejati, KPS perlu diterapkan dalam proses PdP. KPS sebenarnya sudah memiliki elemen-elemen KBAT! Dan KPS ada diterangkan dalam sukatan pelajaran Sejarah. Terdapat 5 kemahiran KPS iaitu memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interprestasi,membuat imaginisasi dan membuat rasionalisasi (baca artikel berkenaan KPS dalam page:http://tanyachegusejarah.blogspot.my/p/petuakaedah-mempelajari-sejarah-spm.html).


Iktibar
Ramai guru cepat mempelajari kelemahan ini dan telah bertindak proaktif dalam memastikan murid dapat menggunakan KBAT dalam menyelesaikan masalah. Ia merupakan satu petunjuk yang positif dalam usaha menaikkan semula GPS Sejarah SPM. Pihak JPN dan PPD juga telah bertindak secara dinamik dalam memastikan guru mendapat input KBAT yang secukupnya.

Kepada guru yang masih kabur tentang perkara ini, rujuklah pentadbir anda. Kepada murid yang kabur tentang perkara ini rujuklah guru anda. Kita semua masih belajar dan terus belajar.

Semoga penulisan ini dapat memberi manfaat buat semua. Wallahualam.

Salam Chegu Sejarah. 
"Learn History for Love, For Honor, For Valor"