SEJARAH SPM

Tuesday 9 October 2012

SETIA



Demi negara,
Yang tercinta,
Ku curahkan bakti penuh setia,
Demi raja yang disanjung tinggi,
Kesetiaan tak berbelah bagi.
 
Kepada pemimpin kepada rakyat,
Khidmat diberi penuh taat,
Sama bekerja sama berusaha,
Setia berkhidmat untuk semua,
 
Rela berkorban apa saja,
Amanah bangsa tetap dijaga,
Kami berikrar penuh setia,
Untuk agama, bangsa dan negara.
 
 
SETIA..begitulah tajuk bagi lagu patriotik di atas. Sebagai warganegara Malaysia dan juga sebagai pelajar, kita seharusnya menanamkan rasa cinta kepada tanah air kita. Cuba tanya kepada diri kita, apakah pengorbanan kita terhadap tanah air kita?
 
 
Jawapannya sungguh mudah, sebagai pelajar kita seharusnya belajar di sekolah supaya menjadi warganegara yang berguna. Belajar di sekolah tidak semestinya hanya bidang akademik, tetapi merangkumi bidang-bidang yang lain seperti kokurikulum dan sahsiah. Kita sebagai pelajar bukannya perwira yang mana gagah menghunus senjata melawan musuh..tetapi kita adalah perwira generasi muda yang akan mencorakkan masa depan negara kita.
 
 
Wahai perwira muda sekalian, di luar sana banyak cabaran dan rintangan yang perlu kita hadapi. Banyak juga perkara kebatilan, dan ada kebenaran yang dimanipulasikan sebagai kebatilan. Bergantung kepada kekuatan iman kita untuk menilai setiap perkara..supaya maruah agama, negara dan bangsa tidak tergadai..Ingatlah..ISLAM sebagai tunjang dan pedoman dalam sebarang bidang yang kita lakukan termasuklah politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Bagi mereka yang bukan Islam, saya percaya agama mereka juga menekankan kebenaran..agama mereka juga menyuruh penganutnya berkorban untuk negara.
 
 
Kita telah dihidang oleh pihak Barat dengan unsur-unsur yang halus supaya kita melupakan siapa kita yang sebenarnya. Pihak barat tidak menggunakan medan peperangan sebagai saluran menjajah kita, tetapi mereka menjajah minda kita dengan budaya negatif mereka seperti cara berpakaian, cara berhibur dan juga cara hidup supaya kita tidak bersatu.Ini satu bentuk asimilasi budaya yang negatif. Meraka meletakkan generasi muda sebagai sasaran kerana mereka merasakan generasi muda adalah lemah dan minda mereka mudah dipengaruhi.
 
 
Barisan perwira dan perwirawati muda sekalian. Marilah kita belajar mencari kebenaran, bekalkan ilmu yang mencukupi dalam dada kita supaya kita dapat menangkis anasir-anasir negatif ini. Kekalkan kemerdekaan kita dalam erti kata yang sebenarnya untuk agama kita, bangsa kita, negara kita dan generasi kita yang terkemudian.
 
 
                                                                  SETIA!