SEJARAH SPM

Wednesday 19 September 2012

SEJARAH DAN ANDA

Ramai pelajar menganggap sejarah sebagai satu kajian mengenai tarikh dan fakta semata-mata. Kerapkali ianya dianggap tidak ada kaitan dengan pengalaman meraka sendiri. Kepada mereka sejarah menjadi satu dari perkara wajib yang menakutkan semasa mereka di bangku sekolah; satu beban yang dipikul hingga hari peperiksaan. Sikap terhadap sejarah yang mendukacitakan ini adalah akibat gagalnya menganggap sejarah sebagai cerita mengenai manusia; satu cerita yang membuat kita sedar tentang siapa kita dan bagaimana kita menjadi begini.

Dalam blog ini, penulis cuba menanggap sejarah sebagai cerita perihal manusia. dalam mengemukakan cerita ini, penulis menganggap diri penulis sebagai pencerita dengan mengisahkan cerita tersebut mengikut pengalaman pelajar itu sendiri. Penulis cuba menimbulkan minat dan menggalakkan daya pemikiran pelajar-pelajar. Penulis juga cuba menanamkan semangat cinta pelajar terhadap warisan mereka menerusi perbincangan dan pengkajian mengenai sejarah tempatan dan sejarah dunia yang mempunyai hubungan serta pertalian atau rangkaian dengan sejarah malaysia.

Penulis juga tidak lupa tentang kepentingan sukatan pelajaran dan peperiksaan khususnya calon-calon yang akan menduduki SPM yang mengambil mata pelajaran sejarah. Penulis merasakan mempelajari sejarah tidak sahaja meliputi pembacaan tentang hasil-hasil kajian sejarah tetapi juga belajar dengan sebenar atau mengetahui dengan mengkaji. Sejarah tempatan adalah penting. Ia membantu pelajar-pelajar menyedari bahawa sejarah ada di sekeliling mereka. Tambahan pula sejarah Malaysia memberi peluang kepada pelajar-pelajar memahami dan tahu menggunakan kaedah-kaedah ahli sejarah.

Sejarah juga adalah mengenai orang perseorangan dan benda-benda yang biasa. Ahli sejarah muda boleh mengkaji sejarah dengan mengetahui tentang keluarganya sendiri, rumah, tempat tinggal, sekolah, nama-nama tempat, perkembangan benda-benda yang digunakan setiap hari atau mancatatkan pengalaman perihal orang-orang tua yang kaya dengan pengalaman sejarah. Bidang tersebut boleh dikatakan tidak berkesudahan, bergantung bagaimana guru, pelajar menggunakan sumber yang ada di sekeliling mereka.

Masa yang dihabiskan dalam mempelajari sejarah tempatan/Malaysia tidaklah boleh dianggap sebagai masa yang sia-sia. Latihan dalam mengkaji sejarah akan menggalakkan pelajar-pelajar untuk memahami dan menghargai apa yang dibaca, dikaji, diperhati, dinilai, diadaptasi dah akhirnya akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai KEBENARAN SEJARAH supaya kita tidak ditipu, diperdaya dan dipergunakan untuk kepentingan barat atau "musuh dalam selimut" di luar dan dalam negara.

Akhir kata, penulis mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM SMK Jengka Pusat 2 dan berdoa supaya calon mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sejarah SPM iaitu 'A' tidak kira A+,A- atau A.


                                                    "SKOR A SASARANKU"

No comments:

Post a Comment